NPRA Banner

               
Product Search   QUEST3+ System   Enquiries   Sitemap  

‘DELIMA RAJA URAT’:AMARAN KEPADA ORANG AWAM MENGENAI PENGAMBILAN PRODUK TIDAK BERDAFTAR

User Rating: 4 / 5

Star ActiveStar ActiveStar ActiveStar ActiveStar Inactive
 

Date: 13 January 2014

 

KENYATAAN AKHBAR

AMARAN KEPADA ORANG AWAM MENGENAI PENGAMBILAN PRODUK TIDAK BERDAFTAR ‘DELIMA RAJA URAT’

 

 

 

delima raja urat

 

 

1. Pusat Pemonitoran Kesan Advers Ubat Kebangsaan, Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) ingin mengingatkan dan menasihatkan orang awam agar tidak membeli atau menggunakan produk tidak berdaftar yang dijual sebagai ubat tradisional melayu dan yang dilabel dengan nama DELIMA RAJA URAT.


PERIHAL PRODUK DAN KESAN ADVERS YANG DILAPORKAN

2. Sampel produk tersebut telah diperolehi melalui laporan kesan advers yang diterima oleh Pusat Pemonitoran Kesan Advers Ubat Kebangsaan, BPFK dan hasil ujian yang telah dilakukan oleh BPFK mendapati produk ini mengandungi dexamethasone iaitu sejenis kortikosteroid yang dikawal di bawah Akta Racun 1952. Label pada produk tersebut menyatakan bahawa produk tersebut digunakan untuk sakit urat, sakit pinggang, lenguh sendi tulang, sakit lutut, kebas kaki tangan, gout, lemah tenaga dan letih lesu.

3. BPFK telah menerima sebanyak dua (2) laporan kesan advers yang melibatkan produk Delima Raja Urat. Kesan-kesan advers yang dilaporkan ialah urticaria, vasculitic rash dan Addisonian crisis.

PERIHAL BAHAN RACUN

4. Dexamethasone adalah agen anti radang yang poten dan biasa digunakan dalam rawatan alergi. Ia hanya boleh dibekalkan oleh doktor atau diperolehi dari farmasi dengan preskripsi doktor. Dexamethasone tidak dibenarkan sebagai ramuan dalam ubat tradisional.

5. Penggunaan dexamethasone secara berpanjangan tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh mengakibatkan kesan sampingan serius yang boleh membahayakan kesihatan seperti kelemahan otot, kerapuhan tulang, peningkatan gula dalam darah, tekanan darah tinggi dan glaukoma. Pesakit juga boleh mengalami ‘Cushing’s syndrome’ yang dicirikan dengan muka membulat (round face) dan bahagian atas badan membesar tetapi lengan dan kaki seolah mengecil.

PERINGATAN KEPADA PENJUAL DAN PENGEDAR PRODUK INI

6. Sesiapa yang mempunyai stok produk ini dinasihatkan menghentikan penjualan, pengedaran atau penggunaannya dengan serta-merta. Penjual adalah diingatkan pemilikan untuk jualan produk-produk ini melanggar Akta Jualan Dadah 1952 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984. Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan-kesalahan berikutnya. Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

PERINGATAN KEPADA ORANG AWAM

7. Orang awam yang sedang menggunakan produk Delima Raja Urat adalah dinasihatkan supaya SEGERA mendapatkan nasihat serta rawatan dari profesional kesihatan. Mereka juga diminta supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah tertipu dengan ubat-ubatan tradisional yang dijual pada harga tidak munasabah dengan tuntutan boleh menyembuhkan pelbagai penyakit.

8. Pesakit yang mengidap penyakit kronik seperti diabetes (kencing manis) adalah berisiko tinggi dan dinasihatkan supaya tidak menggunakan produk tidak berdaftar seperti ini yang berkemungkinan dicampurpalsu dengan bahan terlarang kortikosteroid kerana ia boleh menyebabkan paras gula dalam darah tidak terkawal dan seterusnya mengakibatkan komplikasi yang serius.

9. Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai produk tidak berdaftar ini dinasihatkan supaya dapat menghubungi Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia di talian 03-78413200 atau mana-mana Cawangan Penguatkuasa Farmasi yang berdekatan atau e-mel kepada This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. bagi menyalurkan maklumat agar tindakan sewajarnya dapat diambil bagi membenteras pengedaran produk ini di pasaran.

10. Orang awam juga boleh menyemak status pendaftaran sesuatu produk dengan menghubungi BPFK di talian 03-78835400 atau melayari laman sesawang www.bpfk.gov.my.





Dato’ Eisah A. Rahman
Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi
Kementerian Kesihatan Malaysia

 

National Pharmaceutical Regulatory Agency (NPRA)

Lot 36, Jalan Universiti (Jalan Prof Diraja Ungku Aziz), 46200 Petaling Jaya, Selangor, Malaysia.

  • Phone: +603-7883 5400

 

 

DISCLAIMER

The Government of Malaysia and the National Pharmaceutical Regulatory Agency are not responsible for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.

Site Last Modified

  • Last Modified: Thursday 10 October 2024, 15:18:19.

Search

Main Menu English