NPRA Banner

               
Product Search   QUEST3+ System   Enquiries   Sitemap  

Awasi Produk Tidak Berdaftar

User Rating: 4 / 5

Star ActiveStar ActiveStar ActiveStar ActiveStar Inactive
 

 

Kes 1


En. Danial*, 66 tahun, mengalami serangan jantung hanya satu jam selepas mengambil produk tidak berdaftar, COBRA-X, untuk meningkatkan daya seksual. Berdasarkan ujian makmal yang dijalankan ke atas baki sampel produk, ia telah dikesan mengandungi sildenafil.


Sildenafil, atau lebih dikenali dengan nama Viagra®, adalah ubat farmaseutikal yang berdaftar untuk rawatan mati pucuk. Ubat ini tidak dibenarkan sebagai kandungan di dalam produk tradisional. Sebelum rawatan mati pucuk dimulakan oleh doktor, pesakit perlu dinilai untuk mengenal pasti punca masalah, dan sama ada pesakit mempunyai sebarang masalah jantung. Sildenafil tidak sesuai digunakan oleh pesakit jantung ataupun mereka yang sedang mengambil ubat sakit jantung seperti ubat nitrates. En. Danial bernasib baik kerana menerima rawatan perubatan dengan segera yang telah menyelamatkan nyawa beliau.

 

Kes 2


En. Abdullah*, 60 tahun, mengalami perubahan tingkah laku dalam masa dua minggu selepas mula mengambil produk tradisional tidak berdaftar, Skyline Al Taqwa Sakit Pinggang & Lutut untuk merawat sakit lututnya yang kronik. Produk ini dijual dengan tuntutan ia dapat merawat pelbagai jenis kesakitan. Tingkah laku En. Abdullah berubah menjadi kuat bercakap, mempunyai idea-idea yang hebat, berbelanja berlebih-lebihan, dan turut memberikan wangnya kepada orang lain. Ahli keluarganya berasa risau dan membawa beliau untuk mendapatkan rawatan psikiatri di hospital berdekatan.


En. Abdullah bertuah kerana melalui pengambilan sejarah perubatan yang baik, doktor mengesyaki terdapat bahan terlarang di dalam produk tradisional tidak berdaftar tersebut yang menyebabkan perubahan tingkah laku beliau. Doktor tidak terus memberikan ubat tambahan untuk merawat simptom En. Abdullah, sebaliknya mengarahkan supaya penggunaan produk tidak berdaftar tersebut dihentikan secara berkala. Ujian makmal menunjukkan bahawa produk tersebut mengandungi dexamethasone – sejenis steroid yang kuat. Diagnosis muktamad untuk En. Abdullah adalah ‘euforia disebabkan pengambilan produk yang mengandungi steroid’, dan beliau pulih sepenuhnya selepas menghentikan pengambilan produk tersebut.

 

Kes 3


Alex*, 13 tahun, adalah seorang budak yang sihat dan cergas sebelum dia terjatuh dan terseliuh buku lali. Dia telah mendapatkan rawatan urut dan mula mengambil sejenis produk tradisional (tidak berlabel) untuk melegakan sakit badan dan bengkak kaki. Hanya tiga hari selepas itu, Alex dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah hospital di Lembah Klang kerana tiba-tiba berasa sesak nafas. Pemeriksaan lanjut mendapati dia mengalami kegagalan organ jantung, hati dan buah pinggang. Doktor mengesyaki kegagalan organ ini mungkin disebabkan oleh logam berat yang terkandung di dalam produk tradisional tersebut. Ujian makmal mendapati bahawa produk tersebut dicemari dengan kandungan arsenik yang tinggi. Ini merupakan punca kegagalan organ-organ Alex.


*Nama telah ditukar untuk melindungi identiti individu terlibat.

 

HARGAI NYAWA ANDA - ELAKKAN DARIPADA MENGGUNAKAN PRODUK TIDAK BERDAFTAR


Kes-kes di atas hanyalah sebilangan kecil daripada laporan yang telah diterima oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) berkaitan produk tidak berdaftar yang disyaki menyebabkan kesan sampingan serius termasuk kegagalan hati atau buah pinggang. Sesetengah pesakit yang terlibat telah pulih, tetapi malangnya ada yang tidak bernasib baik.


Jangan letakkan nyawa anda dalam bahaya. Elakkan daripada menggunakan produk tidak berdaftar.


Persepsi umum bahawa produk tradisional adalah bebas daripada kesan sampingan perlu diubah. Produk tidak berdaftar dihasilkan oleh pengilang yang tidak mematuhi Amalan Pengilangan Baik (GMP) serta tanpa sebarang kawalan ke atas kontaminasi bahan-bahan berbahaya seperti logam berat dan bakteria. Produk-produk ini juga sering dicampur palsu dengan bahan-bahan yang boleh memudaratkan kesihatan.


Situasi ini akan menjadi lebih berbahaya jika produk-produk ini mengandungi ubat terkawal yang sepatutnya hanya diambil di bawah pengawasan perubatan yang rapi. Kandungan produk yang tidak dinyatakan pada label bungkusan produk juga boleh mengakibatkan diagnosis yang salah dibuat. Contohnya dalam Kes 2 di atas, sekiranya doktor tidak mengesyaki perubahan tingkah laku En. Abdullah adalah disebabkan kandungan steroid di dalam produk tersebut, beliau mungkin didiagnos menghidap penyakit mental.


Pada tahun 2014, bahan campur palsu yang paling kerap dikesan oleh NPRA di dalam produk tidak berdaftar adalah ubat perangsang seksual, agen pelangsing dan steroid [lihat Kotak 1].

 

Kotak 1: Bahan campur palsu yang dikesan di dalam Produk Tidak Berdaftar

Ubat perangsang seksual :

•  sildenafil & analog

•  tadalafil


Agen pelangsing:

•  sibutramine

•  yohimbine

 

Steroid:

•  dexamethasone

•  prednisolone

 

JANGAN MUDAH TERPENGARUH DENGAN TESTIMONIAL YANG DIIKLANKAN


Steroid seperti dexamethasone digunakan di bawah pengawasan perubatan rapi bagi merawat bengkak dan radang yang serius. Produk tidak berdaftar yang mengandungi steroid mungkin memberi kesan mujarab pada peringkat awal, terutamanya dalam melegakan kesakitan atau masalah alahan seperti sinusitis (radang sinus).


Namun demikian, penggunaan jangka panjang tanpa pengawasan perubatan boleh mengakibatkan masalah kesihatan yang serius. Contoh masalah kesihatan tersebut adalah kehilangan jisim otot, patah tulang, peningkatan paras gula dalam darah sehingga mendapat penyakit kencing manis, tekanan darah tinggi, dan sindrom Cushing yang disifatkan oleh muka membulat serta peningkatan berat badan terutamanya pada bahagian abdomen.


Beberapa produk tidak berdaftar yang telah dikesan mengandungi kortikosteroid adalah Majun Dua Istimewa, Majun Burung Unta, Maajun Tolak Angin, Pill Tupai Jantan Asli, Seven Leave Ginseng dan Dong Mai Dan/Tan. Produk-produk ini sudah berulang kali dilaporkan menyebabkan kesan sampingan yang serius kepada pesakit. Klik di sini untuk senarai produk yang telah dikesan mengandungi bahan terlarang.


Bahagian Penguatkuasaan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia, sering menjalankan serbuan dan pemeriksaan untuk memerangi masalah produk tidak berdaftar ini. Pada tahun 2015 sahaja, produk haram bernilai RM 36 juta telah dirampas.


Namun begitu, produk-produk yang sama sentiasa dipasarkan semula dengan nama serta pembungkusan yang berlainan sebagai langkah untuk mengelirukan pengguna, memandangkan para pengeluar mencuba sedaya upaya untuk meneruskan penjualan produknya. Penjualan biasanya dilakukan melalui cara ‘mulut ke mulut’. Akibatnya, memang sukar untuk mengenal pasti sumber asal penjualan produk tersebut. Selagi wujudnya permintaan daripada pengguna, produk tidak berdaftar akan terus berada di pasaran dan boleh membahayakan pengguna.

Oleh itu, sentiasa ambil berat tentang orang kesayangan anda, terutamanya warga emas. Anda boleh memainkan peranan aktif dengan memaklumkan kepada mereka mengenai bahaya penggunaan produk tidak berdaftar.


JADI APAKAH YANG ANDA PATUT LAKUKAN?


1. Pilih produk berdaftar – Kualiti dan keselamatan terjamin


Semasa menggunakan sebarang ubat-ubatan atau suplemen kesihatan, sentiasa pilih produk yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD), Malaysia. Rajah 1 menerangkan cara anda boleh menyemak sama ada sesuatu produk adalah berdaftar ataupun tidak.

 

 

 

2. Bincang dengan doktor, ahli farmasi atau jururawat


Semasa mendapat rawatan, anda perlu maklumkan kepada doktor, ahli farmasi atau jururawat berkaitan sebarang produk yang sedang atau telah digunakan, termasuk produk tradisional, suplemen kesihatan, atau krim.


3. Berwaspada jika produk tradisional memberikan kesan yang sangat cepat


Produk dengan ramuan semulajadi selalunya mengambil masa yang lebih lama untuk memberikan kesan berbanding produk farmaseutikal. Jika sesuatu produk tradisional didapati memberikan kelegaan dalam masa yang singkat, contohnya hilang rasa sakit selepas hanya satu dos, ia mungkin dicampur palsu dengan bahan berbahaya.


4. Laporkan kepada KKM:


a) Produk tidak berdaftar
Jika anda mempunyai maklumat berkaitan penjualan produk tidak berdaftar, sila hubungi Bahagian Penguatkuasaan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia (Tel.: 03-78413387, laman web: www.pharmacy.gov.my). Maklumat daripada orang awam adalah sangat penting untuk memastikan tindakan diambil bagi menghentikan pengedaran dan penjualan produk berbahaya di pasaran.


b) Kesan sampingan ubat
Jika anda mengesyaki sesuatu produk membuatkan anda berasa kurang sihat, beritahu kami! Laporkan kesan sampingan ubat melalui laman sesawang NPRA: http://npra.moh.gov.my --> Public. Anda juga digalakkan merujuk kepada ahli farmasi anda untuk bantuan dalam mengisi dan menghantar borang laporan kesan sampingan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan atau komen, sila hubungi kami di Pusat Pemonitoran Kesan Advers Ubat Kebangsaan, NPRA di emel: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it..


Laporan Anda Boleh Menyelamatkan Nyawa!

 

National Pharmaceutical Regulatory Agency (NPRA)

Lot 36, Jalan Universiti (Jalan Prof Diraja Ungku Aziz), 46200 Petaling Jaya, Selangor, Malaysia.

  • Phone: +603-7883 5400

 

 

DISCLAIMER

The Government of Malaysia and the National Pharmaceutical Regulatory Agency are not responsible for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.

Site Last Modified

  • Last Modified: Friday 08 November 2024, 07:07:02.

Search

Main Menu English