Majun Dua Istimewa: Amaran Kepada Orang Awam Mengenai Pengambilan Produk Tidak Berdaftar

User Rating: 3 / 5

Star ActiveStar ActiveStar ActiveStar InactiveStar Inactive
 

Date : 08 November 2013

 

Amaran Kepada Orang Awam Mengenai Pengambilan Produk Tidak Berdaftar Majun Dua Istimewa

 

majun-dua-istemewa

Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin mengingatkan dan menasihatkan orang awam agar tidak membeli atau menggunakan PRODUK TIDAK BERDAFTAR yang dijual sebagai ubat tradisional melayu dan yang dilabel dengan nama ‘MAJUN DUA ISTIMEWA’.

PERIHAL PRODUK DAN KESAN ADVERS YANG DILAPORKAN

Pusat Pemonitoran Kesan Advers Ubat Kebangsaan, Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) telah menerima sebanyak dua puluh empat (24) laporan kesan advers yang melibatkan produk Majun Dua Istimewa. Kesan-kesan advers yang dilaporkan ialah peningkatan berat badan, peningkatan enzim hati yang mengakibatkan beberapa penyakit berkaitan hati, kegagalan fungsi buah pinggang secara akut, ‘Cushing’s Syndrome’, muka membengkak, kegatalan dan kesan alergi, peningkatan kadar kolesterol dalam darah, sakit kepala, sakit perut, najis berdarah, muntah, sakit dada, tulang rapuh, sesak nafas, jangkitan kuman dan gangguan perjalanan darah pesakit.

Laporan kesan advers terkini yang diterima daripada Hospital Raja Permaisuri Bainun iaitu pesakit meninggal dunia akibat daripada komplikasi penyakit kencing manis yang tidak terkawal apabila beliau mengambil produk Majun Dua Istimewa selam 2 bulan sebagai ubat tahan sakit.

Hasil ujian yang telah dilakukan oleh BPFK mendapati produk ini mengandungi dexamethasone iaitu sejenis kortikosteroid yang dikawal di bawah Akta Racun 1952. Label pada produk tersebut menyatakan bahawa ia berkhasiat untuk sakit sendi tulang, sakit lutut, sakit urat, penat, sakit bahu, lumpuh kaki, tangan bengkak, sakit pinggang, lenguh seluruh badan, lemah tenaga dan angina sembelik.

Bahagian Penguatkuasa Farmasi, KKM juga telah mengambil tindakan susulan dengan melakukan serbuan dan rampasan terhadap produk tidak berdaftar ini. Sehingga Jun 2013, sebanyak 401 botol produk ini telah dirampas dengan anggaran nilai sebanyak RM146,779. Walaupun tindakan telah diambil produk tidak berdaftar ini masih berada di pasaran kerana terdapatnya permintaan daripada orang ramai.

PERIHAL BAHAN RACUN

Dexamethasone adalah sejenis kortikosteroid dengan fungsi antiradang dan biasa digunakan dalam rawatan alergi. Ia hanya boleh dibekalkan oleh doktor atau diperolehi dari farmasi dengan preskripsi doktor kerana ia perlu diambil dengan dos yang sesuai mengikut keadaan pesakit. Dexamethasone tidak dibenarkan sebagai ramuan dalam ubat tradisional.

Penggunaan dexamethasone secara berpanjangan tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh mengakibatkan kesan sampingan serius yang boleh membahayakan kesihatan seperti kelemahan otot, kerapuhan tulang, peningkatan gula dalam darah, tekanan darah tinggi dan glaucoma. Pesakit juga boleh mengalami Cushing’s Syndrome yang dicirikan dengan muka membulat (round face) dan bahagian atas badan membesar tetapi lengan dan kaki seolah mengecil.

PERINGATAN KEPADA PENJUAL DAN PENGEDAR PRODUK INI

Sesiapa yang mempunyai stok produk ini dinasihatkan menghentikan penjualan, pengedaran atau penggunaannya dengan serta-merta. Penjual adalah diingatkan pemilikan untuk jualan produk-produk ini melanggar Akta Jualan Dadah 1952 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984. Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan-kesalahan berikutnya. Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

PERINGATAN KEPADA ORANG AWAM

Orang awam yang sedang menggunakan produk Majun Dua Istimewa adalah dinasihatkan supaya SEGERA mendapatkan nasihat dan rawatan dari profesional kesihatan. Mereka juga diminta supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah tertipu dengan ubat-ubatan tradisional yang dijual pada harga tidak munasabah dengan tuntutan boleh menyembuhkan pelbagai penyakit.

Pesakit yang mengidap penyakit kencing manis adalah dinasihatkan supaya tidak menggunakan produk ini kerana ia boleh menyebabkan paras gula dalam darah tidak terkawal dan seterusnya mengakibatkan komplikasi yang serius.

Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai produk tidak berdaftar ini dinasihatkan supaya dapat menghubungi Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia di talian 03-7841 3200 atau mana-mana Cawangan Penguatkuasa Farmasi yang berdekatan atau e-mel kepada This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. bagi menyalurkan maklumat agar tindakan sewajarnya dapat diambil bagi membanteras pengedaran produk ini di pasaran.

Orang awam juga boleh menyemak status pendaftaran sesuatu produk dengan menghubungi BPFK di talian 03-7883 5400 atau melayari laman sesawang www.bpfk.gov.my.

DATO’ EISAH BINTI ABDUL RAHMAN
Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi
Kementerian Kesihatan Malaysia

National Pharmaceutical Regulatory Agency (NPRA)

Lot 36, Jalan Universiti (Jalan Prof Diraja Ungku Aziz), 46200 Petaling Jaya, Selangor, Malaysia.

  • Phone: +603-7883 5400

 

 

Image   Image   Image   Image  

DISCLAIMER

The Government of Malaysia and the National Pharmaceutical Regulatory Agency are not responsible for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.

Mobile Web :

Site Last Modified

  • Last Modified: Wednesday 27 March 2024, 22:44:22.
© Copyright 2023 . All Rights Reserved National Pharmaceutical Regulatory Agency NPRA

Search

Main Menu English