Majun Taufiq Dua Istimewa :Amaran Kepada Orang Awam Mengenai Pengambilan Produk Tidak Berdaftar

User Rating: 0 / 5

Star InactiveStar InactiveStar InactiveStar InactiveStar Inactive
 

Date : 08 November 2013

 

Amaran Kepada Orang Awam Mengenai Pengambilan Produk Tidak Berdaftar Majun Taufiq Dua Istimewa

 

makjun taufiq image

 

 

Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin mengingatkan dan menasihatkan orang awam agar tidak membeli atau menggunakan PRODUK TIDAK BERDAFTAR yang dijual sebagai ubat tradisional melayu dan yang dilabel dengan nama ‘MAKJUN TAUFIQ DUA ISTIMEWA

PERIHAL PRODUK DAN KESAN ADVERS YANG DILAPORKAN

Pusat Pemonitoran Kesan Advers Ubat Kebangsaan, Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) telah menerima sebanyak empat (4) laporan kesan advers yang melibatkan produk Makjun Taufiq Dua Istimewa. Kesan-kesan advers yang dilaporkan ialah gangguan aliran darah dan ritma pada jantung, ruam, demam, keguguran rambut dan ‘Cushing’s Syndrome’.

Hasil ujian yang telah dilakukan oleh BPFK mendapati produk ini mengandungi dexamethasone iaitu sejenis kortikosteroid yang dikawal di bawah Akta Racun 1952. Label pada produk tersebut menyatakan bahawa makjun tersebut digunakan untuk ghaut, sakit sendi, sakit lutut, sakit urat, penat, sakit bahu, lumpuh kaki-tangan, tangan bengkak, sakit pinggang, lenguh seluruh badan, lemah tenaga dan angina sembelit. Sesuai untuk lelaki dan wanita. Label produk juga mengelirukan pengguna dengan menyenaraikan ramuan semulajadi sahaja.

Bahagian Penguatkuasa Farmasi, KKM juga telah mengambil tindakan susulan dengan melakukan serbuan dan rampasan terhadap produk tidak berdaftar ini. Sehingga Jun 2013, sebanyak 96 botol produk ini telah dirampas dengan anggaran nilai sebanyak RM32,593. Walaupun tindakan telah diambil produk tidak berdaftar ini masih berada di pasaran kerana terdapatnya permintaan daripada orang awam.

PERIHAL BAHAN RACUN BERJADUAL

Dexamethasone adalah sejenis kortikosteroid dengan fungsi antiradang dan biasa digunakan dalam rawatan alergi. Ia hanya boleh dibekalkan oleh doktor atau diperolehi dari farmasi dengan preskripsi doktor kerana ia perlu diambil dengan dos yang sesuai mengikut keadaan pesakit. Dexamethasone tidak dibenarkan sebagai ramuan dalam ubat tradisional.

Penggunaan dexamethasone secara berpanjangan tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh mengakibatkan kesan sampingan serius yang boleh membahayakan kesihatan seperti kelemahan otot, kerapuhan tulang, peningkatan gula dalam darah, tekanan darah tinggi dan glaucoma. Pesakit juga boleh mengalami ‘Cushing’s Syndrome; yang dicirikan dengan muak membulat (round face) dan bahagian atas badan membesar tetapi lengan dan kaki seolah mengecil.

PERINGATAN KEPADA PENJUAL DAN PENGEDAR PRODUK INI

Sesiapa yang mempunyai stok produk ini dinasihatkan menghentikan penjualan, pengedaran atau penggunaannya dengan serta-merta. Penjual adalah diingatkan pemilikan untuk jualan produk-produk ini melanggar Akta Jualan Dadah 1952 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984. Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan-kesalahan berikutnya. Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

PERINGATAN KEPADA ORANG AWAM

Orang awam yang sedang menggunakan produk Makjun Taufiq Dua Istimewa adalah dinasihatkan supaya SEGERA mendapatkan nasihat dan rawatan dari profesional kesihatan. Mereka juga diminta supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah tertipu dengan ubat-ubatan tradisional yang dijual pada harga yang tidak munasabah dengan tuntutan boleh menyembuhkan pelbagai jenis penyakit.

Pesakit yang mengidap penyakit kencing manis adalah dinasihatkan supaya tidak menggunakan produk ini kerana ia boleh menyebakan paras gula dalam darah tidak terkawal dan seterusnya mengakibatkan komplikasi yang serius.

Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai produk tidak berdaftar ini dinasihatkan supaya dapat menghubungi Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia di talian 03-7841 3200 atau mana-mana Cawangan Penguatkuasa Farmasi yang berdekatan atau e-mel kepada This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. bagi menyalurkan maklumat agar tindakan sewajarnya dapat diambil bagi membenteras pengedaran produk ini di pasaran.

Orang awam juga boleh menyemak status pendaftaran sesuatu produk dengan menghubungi BPFK di talian 03-7883 5400 atau melayari laman sesawang www.bpfk.gov.my.

 

DATO’ EISAH BINTI ABDUL RAHMAN
Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi
Kementerian Kesihatan Malaysia

National Pharmaceutical Regulatory Agency (NPRA)
Lot 36, Jalan Universiti, 46200 Petaling Jaya, Selangor, Malaysia.
  • Email: npra@npra.gov.my
  • Phone: +603-7883 5400
  • Fax: +603-7956 2924, +603-7956 7075

DISCLAIMER

The Government of Malaysia and the National Pharmaceutical Regulatory Agency are not responsible for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.

Mobile Web :

© Copyright 2018 . All Rights Reserved National Pharmaceutical Regulatory Agency NPRA