Madu Adunan Herba :Amaran Kepada Orang Awam Mengenai Pengambilan Produk Tidak Berdaftar Madu Adunan Herba

User Rating: 0 / 5

Star InactiveStar InactiveStar InactiveStar InactiveStar Inactive
 

Date : 08 November 2013

 

 

Amaran Kepada Orang Awam Mengenai Pengambilan Produk Tidak Berdaftar Madu Adunan Herba

 

madu adunan herba image

 

Pusat Pemonitoran Kesan Advers Ubat Kebangsaan, Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) ingin mengingatkan dan menasihatkan orang awam agar tidak membeli atau menggunakan produk tidak berdaftar yang dijual sebagai ubat tradisional melayu dan dilabel dengan nama MADU ADUNAN HERBA.

PERIHAL PRODUK DAN KESAN ADVERS YANG DILAPORKAN

Sampel produk tersebut telah diperolehi melalui laporan kesan advers yang diterima oleh Pusat Pemonitoran Kesan Advers Ubat Kebangsaan, BPFK dan hasil ujian yang telah dilakukan oleh BPFK mendapati produk ini mengandungi dexamethasone iaitu sejenis kortikosteroid yang dikawal di bawah Akta Racun 1952. Label pada produk tersebut menyatakan bahawa ia berkhasiat untuk selsema dan hidung berair, sakit sendi tulang, sakit lutut, sakit urat, penat, sakit bahu, lumpuh kaki, tangan bengkak, sakit pinggang, lenguh seluruh badan, lemah tenaga dan angina sembelik.

Sejak tahun 2005 BPFK telah menerima sebanyak empat (4) laporan kesan advers yang melibatkan produk Madu Adunan Herba. Kesan-kesan advers yang dilaporkan ialah peningkatan berat badan, peningkatan enzim hati dan sindrom ‘steroid withdrawal’ seperti jantung berdebar, badan berpeluh, muntah, penurunan gula dalam darah, pengsan serta cirit-birit.

PERIHAL BAHAN RACUN

Dexamethasone adalah agen antiradang yang poten dan biasa digunakan dalam rawatan alergi. Ia hanya boleh dibekalkan oleh doktor atau diperolehi dari farmasi dengan preskripsi doktor. Dexamethasone tidak dibenarkan sebagai ramuan dalam ubat tradisional.

Penggunaan dexamethasone secara berpanjangan tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh mengakibatkan kesan sampingan serius yang boleh membahayakan kesihatan seperti kelemahan otot, kerapuhan tulang, peningkatan gula dalam darah, tekanan darah tinggi dan glaucoma. Pesakit juga boleh mengalami ‘Cushing’s Syndrome’ yang dicirikan dengan muka membulat (round face) dan bahagian atas badan membesar tetapi lengan dan kaki seolah mengecil.

PERINGATAN KEPADA PENJUAL DAN PENGEDAR PRODUK INI

Sesiapa yang mempunyai stok produk ini dinasihatkan menghentikan penjualan, pengedaran atau penggunaannya dengan serta-merta. Penjual adalah diingatkan pemilikan untuk jualan produk-produk ini melanggar Akta Jualan Dadah 1952 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984. Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan-kesalahan berikutnya. Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

PERINGATAN KEPADA ORANG AWAM

Orang awam yang sedang menggunakan produk Madu Adunan Herba adalah dinasihatkan supaya SEGERA mendapatkan nasihat dan rawatan dari profesional kesihatan. Mereka juga diminta supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah tertipu dengan ubat-ubatan tradisional yang dijual pada harga yang tidak munasabah dengan tuntutan boleh menyembuhkan pelbagai jenis penyakit.

Pesakit yang mengidap penyakit kencing manis adalah dinasihatkan supaya tidak menggunakan produk ini kerana ia boleh menyebakan paras gula dalam darah tidak terkawal dan seterusnya mengakibatkan komplikasi yang serius.

Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai produk tidak berdaftar ini dinasihatkan supaya dapat menghubungi Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia di talian 03-7841 3200 atau mana-mana Cawangan Penguatkuasa Farmasi yang berdekatan atau e-mel kepada This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. bagi menyalurkan maklumat agar tindakan sewajarnya dapat diambil bagi membenteras pengedaran produk ini di pasaran.

Orang awam juga boleh menyemak status pendaftaran sesuatu produk dengan menghubungi BPFK di talian 03-7883 5400 atau melayari laman sesawang www.bpfk.gov.my.

DATO’ EISAH BINTI ABDUL RAHMAN
Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi
Kementerian Kesihatan Malaysia

 

National Pharmaceutical Regulatory Agency (NPRA)
Lot 36, Jalan Universiti, 46200 Petaling Jaya, Selangor, Malaysia.
  • Email: npra@npra.gov.my
  • Phone: +603-7883 5400
  • Fax: +603-7956 2924, +603-7956 7075

DISCLAIMER

The Government of Malaysia and the National Pharmaceutical Regulatory Agency are not responsible for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.

Mobile Web :

© Copyright 2018 . All Rights Reserved National Pharmaceutical Regulatory Agency NPRA